Ancient Hieroglyphics

Ancient Hieroglyphics

Thursday, 4 June 2015

Bangsa Melayu


   Orang Melayu (yang boleh dipecahkan lagi kepada orang Melayu Kedah, Melayu Kelantan-Patani, Melayu Perak, Melayu Terengganu, Melayu Johor-Riau dan berbagai-bagai lagi) ialah satu anggota dalam rumpun Austronesia ini. Jadi siapakah ahli-ahli rumpun Austronesia yang lain? Rumpun Austronesia bukan mencecah hingga ke Riau saja, tetapi terbentang luas dari pulau Taiwan ke New Zealand, dan dari Madagaskar ke Hawaii dan Pulau Easter. Memang diakui oleh para penyelidik bidang linguistik (disiplin sains bahasa) dan antropologi, orang Hawaii, orang Jawa, orang Cham, orang Iban, orang Malagasy, suku-suku di Filipina -- ada 1,200+ semuanya -- ialah ahli rumpun Austronesia, dan mereka inilah yang layak dipanggil sebagai rumpun Melayu. Ahli rumpun Austronesia bertebaran ke empat penjuru dunia kerana mereka ialah manusia pelayar (yang turut mempunyai ilmu astronomi yang hebat). Pelbagai kisah hebat mengenai pencapaian tamadun mereka mengagumkan dunia, antaranya ialah orang pertama meneroka lautan luas, orang pertama menemui benua Amerika dan seumpama dengannya dalam bidang penerokaan dunia. Kemudian, persamaan antara bahasa, genetik dan budaya ini mewujudkan terma Bangsa Melayu yang merangkumi seluruh rumpun Austronesia. Terdapat beberapa peristiwa yang menjadi pengukur kepada idea gagasan bangsa Melayu ini dalam sejarah. Antaranya ialah Wenceslao Vinzons, menubuhkan organisasi Pan-Malayan Union atau Perhempoenan Orang Mellayoe pada tahun 1930-an dahulu untuk menggalakkan pengajian sejarah, tamadun dan kebudayaan bangsa Melayu dan memperkembangkan sentimen persatuan dalam kalangan bangsa-bangsa berkulit sawo matang.
   Jose Rizal, sebagai antara pendiri semangat nasionalisme Filipina, dicatat pernah mengerakkan sebuah pergerakan yang berasaskan Melayu. Lalu, Jose Rizal pun mengumpulkan seluruh anak ‘Melayu’ dari Filipina, Dutch East Indies, Semenanjung dan Borneo di sebuah kota bernama Paris. Revolusi daripada Jose Rizal ini sebenarnya mahu membebaskan seluruh bangsa Melayu daripada belenggu penjajah dan menubuhkan sebuah negara berpaksikan tamadun Melayu. Ketika Raja Kalakaua dari Hawaii bertemu dengan Raja Chulalongkorn dari Thailand pada lewat bulan March tahun 1881, raja Hawaii ni dengan bangganya mengatakan bahawa sesungguhnya kami orang polinesia ini ada darah MELAYU! Maka jawab raja Thailand itu, kami orang Thailand pun ada darah Melayu juga! Kemudian, ketika Raja Kalakaua sampai ke Johor dan bertemu dengan Maharaja Abu Bakar, mereka saling membahaskan diri mereka berdua sebagai adik beradik Melayu yang hilang. Dan sempat juga Maharaja Abu Bakar menghadiahkan senaskah Al-Quran kepada Raja Kalakaua. Pada tahun 1879 Parlimen Hawaii di Honolulu telah membincangkan kemungkinan penyatuan Dunia Melayu-Polinesia yang luas.
    Terdapat banyak teori-teori mengenai asal-usul Melayu, antaranya ialah Melayu berasal daripada Yunnan dan Taiwan. Namun, teori terbaru yang dikeluarkan oleh pakar arkeologi di Malaysia mengatakan bahawa bangsa Melayu sebenarnya sudah berada di Nusantara sejak 74000 SM. Antara pakar arkeologi yang mengeluarkan teori ini adalah Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan teori ini sekaligus mematahkan semua teori lain. Teori Out Of Sundaland adalah antara teori awal yang bercakap tentang asal usul bangsa Melayu yang turut mengatakan asal usul orang Melayu dari Asia Tenggara. Antara orang-orang akademik yang menyokong teori ini adalah Prof Dr Zafarina Zainuddin dan Dr Oppenheimer yang mengatakan bahawa bangsa Melayu memang berasal daripada Asia Tenggara. Mereka berhujah mengatakan bahawa suatu masa dahulu, ketika zaman ais, Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, Borneo, Filipina saling bergabung antara satu sama lain sebelum akhirnya tenggelam akibat penghujung zaman ais dan benua yang dua kali ganda lebih besar daripada benua India itu akhirnya dipisahkan dek air laut.Akibat daripada banjir besar tersebut, maka bertebaranlah rumpun-rumpun Melayu ke serata tempat sehingga sejauh ke Hawaii.
   Bagaimana pula dengan dengan asal-usul nama Melayu itu sendiri? Terdapat banyak rekod yang membincangkan mengenai di manakah asal-usul nama MELAYU itu sendiri. Antara rekod terawal yang mencatatkan mengenai nama MELAYU dalam sejarah itu sendiri adalah di dalam peta Ptolemy seawal abad pertama Masihi yang mencatatkan kawasan di Semenanjung Emas yang turut dikenali sebagai Maleu-kolon. Selain itu, antara rekod terawal mengenai asal-usul nama Melayu ini ialah mengenai sebuah kerajaan Melayu yang dipercayai wujud sekurang-kurangnya sejak abad keempat hingga abad ketujuh Masihi di Sumatera yang dikenali sebagai Malayu sebelum kerajaan ini ditawan oleh kerajaan Srivijaya. Selepas itu, dalam catatan-catatan Dinasti China seperti Yuan dan Ming, nama orang Melayu banyak kelihatan. Orang China biasanya akan merujuk kepada kerajaan Malayu yang dibina oleh bangsa Melayu dengan panggilan seperti Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, Oo-lai-yu, dan Oo-lai-yu berdasarkan pelat orang cina sendiri. Tomé Pires yang tinggal di Melaka daripada tahun 1512 hingga tahun 1515 merujuknya sebagai Terra de Tana Malaio. Nama “tanah Melayu” juga terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat tersebut apabila Hang Tuah dinyahkan dari Melaka dan bersiap untuk merantau ke Inderapura, dia ditanya ke manakah dia akan pergi. Pahlawan Melayu itu menjawab ke mana sahaja dibawa kakinya, dengan menambah “lamun pada tanah Melayu”. Lebih awal daripada itu, Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karyanya Desawarnama pada tahun 1365 telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu iaitu Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu.
  Selain itu, ketika Singgahsari mahu mengerakkan ekpedisi menundukkan sisa-sisa kekuasaan Empayar Srivijaya, maka nama ekpedisi itu dipanggil sebagai Ekpedisi Pamalayu. Mengenai rekod bertulis terawal bahasa Melayu pula ialah seawal abad ke-4 Masihi melalui Tamadun Melayu Champa, berdasarkan Prasasti Dong Yen Chau. Kemudian, diikuti oleh rekod-rekod bertulis dalam Prasasti Kedukan Bukit, Kota Kapur, Talang Tuwo dan Telaga Batu serta beberapa prasasti-prasasti Srivijaya di dalam Bahasa Melayu Kuno. Bahasa Melayu benar-benar berkembang ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggakan berjaya mewujudkan sebuah Akademi Pengajian Bahasa Melayu di China. Ketika itu, Bahasa Melayu Kuno mengalami evolusi bahasa sehingga memasuki fasa Bahasa Melayu Klasik. Antara kerajaan terawal yang didirikan oleh bangsa Melayu ialah TAMADUN SUNGAI BATU yang seawal 500 SM lagi. Penempatan di Sungai Batu ini juga dikatakan merupakan Tamadun Terawal di Asia Tenggara. Kemudian, antara kerajaan-kerajaan Melayu yang wujud selepas Tamadun Sungai Batu di Nusantara adalah seperti berikut, Champa, Funan, Srivijaya, Gangga Negara, Chih Tu, Pan-Pan, Singapura Purba, Sri Dharmaraja dan berpuluh-puluh lagi kerajaan sehinggalah kewujudan Melaka antara bukti bahawa Melayu adalah antara orang pertama di tanah ini (termasuk orang asli dari Melayu Proto) Srivijaya pula merupakan Empayar Melayu Terluas yang pernah didirikan oleh bangsa Melayu di Nusantara. Dikatakan asal usul empayar ini adalah dimulakan oleh seorang raja Melayu bernama Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang membawa 20 000 orang askar dari lokasi misteri yang bernama Minanga dan menawan beberapa buah daerah dan wilayah di Nusantara. Srivijaya ketika di puncak kegemilangannya menaungi hampir seluruh Nusantara.
   Ketika zaman kemasukan Islam, kerajaan-kerajaan Islam seperti Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Acheh, Kesultanan Pasai, Kesultanan Brunei antara kerajaan-kerajaan Melayu yang mula naik dan menguasai nusantara. Antara kesultanan Melayu yang terawal yang wujud di Semenanjung ialah Kesultanan Kedah dan merupakan antara kesultanan tertua di dunia. Namun, masih belum ada bukti kewujudan kerajaan-kerajaan tamadun bangsa lain melainkan hanyalah dibina oleh orang Melayu.

No comments:

Post a Comment