“Bahasa Melayu ialah bahasa antarabangsa dan sesiapa yang tinggal di antara Parsi di sebelah baratnya dan Filipina di sebelah timurnya , tidak mengetahui bahasa Melayu maka orang itu akan dianggap tidak berpelajaran.” – Francois Valentjin
Dari kenyataan di atas, di mana Valentjin mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mampu bertutur di dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai tidak berpelajaran, maka kata penulis bahawa sesungguhnya bahasa Melayu telah menjadi sebagai sebuah bahasa Ilmu yang di mana sesiapa yang mahu menuntut ilmu pada waktu itu perlulah mempelajari bahasa Melayu. Hal ini kerana mungkin pada waktu itu semua naskah-nashkah ilmu yang wujud di Nusantara adalah di dalam bahasa Melayu. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dikatakan bermula sejak kurun ke-15 lagi iaitu dengan terhasilnya penulisan dan penterjemahan kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu. Ini mungkin berlaku kerana penyebaran Islam adalah di dalam bahasa Melayu. Ini dapat dilihat pada penghasilan sistem tulisan Jawi yang datang dari tulisan arab dan diubah suai oleh orang Melayu sendiri. Wujudnya perkataan yang mengungkapkan konsep seperti tauhid, syariah, undang-undang dan tassawuf, adalah bukti bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi sebagai bahasa Ilmu melalui penyebaran ilmu.
Acheh kemudiannya telah mengambil alih kehebatan yang diasaskan oleh Melaka. Banyak kitab-kitab bahasa Melayu dihasilkan pada zaman ini yang menulis mengenai ilmu-ilmu agama. Antaranya ialah kitab Al-Aqai’id al-Nasafiyyah yang ditulis oleh seorang alim ulama iaitu Umar Bin Muhammad Al-Nasafi pada kurun ke 54. Tokoh-tokoh ilmuwan yang menulis kitab-kitab mereka di dalam bahasa Melayu seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin Al-Raniri, Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari menunjukkan betapa ilmu telah sebati dengan bahasa Melayu. Kejatuhan Melaka tidak pernah membuatkan bahasa Melayu tenggelam sebaliknya dicatatkan bahawa Pigafetta, seorang kelasi berbangsa Itali yang pernah bersama dengan Magellan pernah menyusun sebuah kamus Melayu-Itali ketika singgah di Pulau Tidore yang terletak di Kepulauan Maluku Utara. Dicatatkan juga bahawa penduduk di pelabuhan tersebut bertutur di dalam bahasa Melayu membuatkan terhasilnya kamus Melayu-Itali ini. Suku-suku kaum yang lain dalam Kepulauan Melayu ini juga tidak pernah ketinggalan meninggalkan bukti kepada kita betapa sesungguhnya bahasa Melayu turut dijadikan bahasa petuturan mereka.
Kemuncaknya penggunaan bahasa Melayu secara berleluasa di Nusantara telah melahirkan lebih 11, 000 manuskrip yang disimpan di dalam negara kita dan juga luar negara dalam pelbagai bidang ilmu. Ini menunjukkan bahawa betapa bangsa Melayu dan bahasa Melayu adalah bangsa yang sangat menghargai ilmu pengetahuan. Maka tidak hairanlah jika pernah wujud sebuah akademik yang mempelajari bahasa Melayu pada zaman Dinasti Ming dan Qing. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dicatatkan bahawa Dinasti Ming telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bahasa. Di dalam jabatan itu terdapat jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu. Diceritakan juga bahawa Maharaja Ming Cheng Zhu telah menubuhkan akademi bahasa yang dikenali sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di Nanjing dan salah satu daripadanya ialah BAHASA MELAYU... Merupakan satu kebanggaan bagi kita kerana lahir di kalangan bangsa Melayu yang bertamadun dan diiktiraf di peringkat antarabangsa...
No comments:
Post a Comment