Ancient Hieroglyphics

Ancient Hieroglyphics

Friday, 22 May 2015

Sejarah Kelantan 4

JEMBAL DALAM LIPATAN SEJARAH KELANTAN




        Negeri Kelantan terletak di pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Semenjak dari zaman silam lagi, ia telah menjadi tumpuan para pedagang yang berulang alik dari timur dan barat untuk singgah menjadikan Kelantan terkenal di kalangan para pedagang luar. Kedudukannya yang strategik, menyebabkan wujudnya kerajaan yang besar di situ yang mengawal aliran perdagangan dan politiknya. Salah sebuah kerajaan yang masyhur di abad ke 17 dan 18 ialah Kerajaan Jembal.
     Dalam sejarah Malaysia, sejarah awal tentang negeri Kelantan sukar dikesan. Ada pendapat mengatakan Kelantan sudah wujud diabad yang pertama lagi dengan panggilan ‘Medang Kemulan’. Dalam abad ke 5 pula, Kelantan juga dikenali dengan nama’Kalatana’ atau ‘Tanah Kala’. Catatan Shen Yao (414 – 512) seorang pengembara China ada menyebut negeri ‘Ho-lo-tan’ atau ‘Kou-lo-tan’. 
    Pada tahun 1411M Kelantan dikatakan diperintah oleh seorang maharaja bergelar Maharaja Kumar/Maharaja Ku Umar (Islam). Diberitakan baginda pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri China. Selepas kemangkatan Maharaja Kumar, Kelantan diperintah pula oleh Sultan Iskandar yang memerintah sehingga tahun 1465M. Bagaimanapun hubungan antara Sultan Iskandar dengan Maharaja Kumar tidak dapat dipastikan pertaliannya. Selepas kemangkatan Sultan Iskandar, Kelantan diperintah pula oleh Sultan Mansur yang memerintah pada tahun 1465M. Pada Tahun 1477M, ketika pemerintahan Sultan Mansur ini, Kelantan telah diserang oleh Melaka di bawah Sultan Mahmud Syah. Hasil peperangan itu, Sultan Mahmud Syah akhirnya berkahwin dengan puteri Onang Kening, puteri kepada Sultan Mansur yang mana puteri tersebut kemudiannya telah melahirkan Raja Muzaffar, yang kemudian menjadi Sultan Perak yang pertama. Pada tahun 1526M Raja Gombak pula naik takhta menggantikan Sultan Mansur. Cucu Raja Gombak iaitu Raja Ahmad dijadikan sebagai pewaris baginda yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Ahmad. Dia dilantik sebagai pewaris ekoran Raja Gombak tidak memiliki zuriat. Raja Ahmad berkahwin dengan Cik Banun Puteri Sri Nara D’Raja iaitu sepupu kepada Raja Hussin dari Johor. Baginda dikurniakan seorang puteri bernama Cik Wan Kembang. Sultan Ahmad mangkat ketika Cik Wan Kembang baru berusia 4 tahun. Kerana usiannya yang masih kecil, Raja Hussin dari Johor telah dilantik sebagi pemangku raja.
      Kemudiannya, pada tahun 1610M, Raja Hussin pula mangkat oleh itu Cik Wan Kembang telah ditabalkan menjadi raja baru Kelantan. Pusat pentadbiran baginda terletak di Gunung Cinta Wangsa, Ulu Kelantan. Kerajaan Cik Wan Kembang ini sangat masyhur pada zaman tersebut. Ramai pedagang yang datang berniaga, termasuklah para pedagang dari negara Arab. Orang-orang Arab memanggil baginda dengan panggilan ‘Paduka Cik Siti’. Dari situlah baginda lebih dikenali dengan nama ‘Cik Siti Wan Kembang’. Pada masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang ini telah muncul satu lagi kerajaan lain di timur laut Kelantan bergelar Kerajaan Jembal. Kerajaan Jembal ini dikatakan diasaskan oleh Raja Besar.
        Raja Besar dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah Kedah pada abad ke 14. Mengikut cerita ketika Raja Besar dan pengikut-pengikutnya mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri baginda telah mendirikan sebuah kota di tepi sungai Babong, di Pulau Melaka. Di situ terdapat satu pokok ‘jambu jembal’ yang besar lalu baginda menamakan tempat itu sebagai ‘JEMBAL’. Pada tahun 1638, Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya. Raja Sakti pula dikurniakan 7 orang anak iaitu Raja Adiluddin (Raja Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri Sayu Bari, Puteri Unang Melor dan Puteri Cempaka Bongsu. Kemudian pada tahun 1649M Raja Loyar ditabalkan sebagai raja baru yang memerintah Jembal. Raja Bahar dilantik sebagai Bendahara, Raja Omar sebagai Raja Muda dan Raja Sungai sebagai Temenggong. Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya. Mengikut lagenda, baginda dikatakan mempunyai sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit hitam, lidah fasih dan air liur masin. Di bawah pemerintahan Raja Loyar, kerajaan Jembal bertambah maju dan makmur. Tambahan lagi hubungan antara kerajaannya dengan kerajaan Cik Siti Wan Kembang juga adalah amat baik. Raja Loyar mempunyai 2 orang cahaya mata, iaitu seorang putera (meninggal) dan seorang puteri bernama Puteri Mariam. Puteri Mariam lebih dikenali ramai sebagi Puteri Saadong. Dikatakan Cik Siti Wan Kembang sangat berkenan dengan Puteri Saadong. Kerana beliau sendiri tidak mempunyai pewaris maka beliau telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkatnya. Puteri Saadong dihadiahkan dua ekor anak kijang oleh Cik Siti Wan Kembang untuk dijadikan mainannya. Sehingga sekarang gambar 2 ekor kijang dijadikan lambang kebesaran Kerajaan Negeri Kelantan.
         Puteri Saadong termasyhur dengan kecantikannya. Raja Prasat Thong dari Siam menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong namun pinangan itu ditolak. Puteri Saadong lalu dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah. Raja Abdullah telah mendirikan sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Jelasin’ (Kg. Kota, sekarang). Tambahan, Cik Siti Wan Kembang, Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah membuka penempatan baru di Kg. Chetok yang dikenali sebagi ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’. Di sini Cik Siti Wan Kembang gering, lalu dibawa ke Gunung Cinta Wangsa dan meninggal di sana. Setelah kemangkatan Cik Siti Wan Kembang seluruh negeri Kelantan telah diperintah oleh Raja Loyar. Jauh di utara pula, Raja Siam sangat marah di atas perkahwinan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah. Baginda lalu menghantar angkatan tentera bagi menyerang Kota Jelasin. Raja Abdullah berundur ke Melor dan membina ‘Kota Mahligai’ di sana. Kemudian angkatan Siam turut mara pula ke Melor. Kerana sayangkan nyawa rakyatnya, Puteri Saadong menyerah diri dan dibawa ke Ayudhiya. Ketika Puteri Saadong berada di Siam, ayahandanya Raja Loyar telah mangkat. Jenazah baginda dimakamkan di Jembal iaitu bersebelahan SMK Raja Sakti sekarang. Adinda baginda Raja Omar ditabal menjadi raja dengan gelaran Sultan Omar. Setelah kembali dari Siam, Puteri Saadong mendapati ayahandanya telah mangkat. Puteri Saadong kemudian terus ke Kota Mahligai untuk bertemu dengan suaminya. Tanpa dia ketahui, sepeninggalannya, Raja Abdullah telah berkahwin dengan anak pembesar negeri. Bila dia mengetahuinya satu pertengkaran telah berlaku antara mereka. Kesannya Raja Abdullah telah mangkat setelah tertikam penyucuk sanggul milik Puteri Saadong. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Padang Halban, dekat Melor.
    Pada tahun 1671M, Raja Abdul Rahim, adinda Raja Abdullah, telah dilantik memerintah di Kota Mahligai. Manakala selepas peristiwa itu Puteri Saadong telah berpindah ke Bukit Marak. Mengikut rekod, pemerintahan Raja Abdul Rahim sangat zalim. Ramai rakyat datang mengadu kepada Puteri Saadong akan kezalimannya. Pada tahun 1673M, Puteri Saadong berpindah pula ke Gunung Ayam untuk mengasingkan diri. Selepas itu tiada lagi khabar berita tentangnya.. Seolah-olah dia ghaib begitu sahaja. Dalam situasi lain pula, Raja Omar dari Jembal telah menghantarkan anaknya Raja Kecil Sulong untuk menyelesaikan masalah di Kota Mahligai. Salah seorang pengikut Raja Kecil Sulong berjaya menikam Raja Abdul Rahim di tepi Tasik Lelayang Mandi dan baginda mangkat di situ. Kematiannya menandakan Kelantan diperintah secara mutlak oleh Sultan Omar dari kerajaan Jembal. Negeri Kelantan amat maju di bawah pemerintahan Sultan Omar. Baginda dapat menyatukan Kelantan di bawah satu pentadbiran sahaja. Semasa pemerintahannya, baginda selalu membuat lawatan ke seluruh jajahan negeri takluknya. Baginda juga turut membuka satu kawasan tanaman padi yang luas di Padang Jembal, Bachok. Selain itu baginda turut mengadakan hubungan dengan negara luar seperti Pattani, China dan Jawa termasuk juga dengan negeri jiran seperti Terengganu.
       Baginda dikurniakan 5 orang putera puteri iaitu Raja Kecil Sulong, Raja Pah, Raja Sakti III, Raja Ngah dan Raja Nah. Pada tahun 1686M, tiga orang anak Datu Pengkalan Tua, Pembesar Pattani telah datang menghadap Sultan Omar. Mereka ialah Tuan Sulong (Long Sulong), Tuan Senik (Long Senik) dan Tuan Besar (Long Bahar). Long Bahar itu telah dikahwinkan dengan anakanda baginda, iaitu puteri Raja Pah manakala yang lain pula telah dikahwinkan dengan anak pembesar negeri. Sultan Omar turut membina Kota Senang yang kemudiannya diserahkan kepada Raja Pah dan suaminya. Sultan Omar memerintah Kelantan selama 46 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1721M dan jenazah baginda dimakamkan berhampiran dengan Kota Seneng. Sekarang ia dikenali sebagai Kg Seneng. Belindan makam baginda dipercayai didatangkan dari Negeri China.
       Sultan Omar digantikan oleh anakanda baginda Raja Kecil Sulong. Raja Kecil Sulong telah membina sebuah kota yang dinamakan ‘Kota Teras’. Kota ini diperbuat daripada teras kayu tembesu. Mengikut rekod, baginda hanya memerintah selama 5 tahun sahaja dan mangkat pada tahun 1725M dalam usia yang sangat muda. Ada juga cerita yang mengatakan yang baginda itu dibunuh namun tiada bukti sahih untuk membenarkan dakwaan ini. Putera Raja Kecil Sulong yang bernama Raja Abdul Rahman masih lagi kecil ketika kemangkatannya. Raja Pah kemudiannya telah mempengaruhi pembesar negeri supaya suaminya Tuan Besar / Long Bahar dilantik menjadi Sultan baru di Kelantan. Dengan itu tertolaklah hak Raja Abdul Rahman. Selepas itu Long Bahar telah berpindah dari Kota Seneng ke Kota Jembal. Apabila Long Bahar mangkat, anakanda baginda iaitu Long Sulaiman telah dilantik sebagai pemerintah baru Kelantan. Long Sulaiman adalah anak kepada Long Bahar dengan isteri pertamanya dari Patani dan dia bukannya anak hasil perkahwinan Long Bahar dengan Raja Pah. Ini kerana sebelum berkahwin dengan Raja Pah, Long Bahar sendiri sudahpun memiliki isteri di Patani dan putera bernama Long Sulaiman. Apabila Long Sulaiman naik takhta bagi kerajaan Kelantan, maka terputuslah zuriat keturunan Raja Jembal sebagai pemerintah Kelantan dan pemerintahan di Kelantan itu sendiri telah diterajui oleh dinasti baru yang bermula dengan Long Sulaiman. Dari keturunan Long Sulaiman inilah datangnya salasilah kesultanan Kelantan pada hari ini.

Jembal Hari Ini

      Nama Jembal ini kekal sehingga tahun 1922 sahaja. Tempat itu telah berubah kepada nama Kedai Lalat dengan secara tidak dirancang. Pekan tersebut dikunjungi oleh ramai penjual dan pembeli dalam masa yang singkat sahaja (*seperti lalat). Kerana itu pekan ini dinamakan Kedai Lalat. Suasana itu kekal hingga ke hari ini. Pada hari ini, keturunan Jembal tersebar di seluruh negeri Kelantan. Terdapat juga di Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan lain-lain negeri. Mereka memakai berbagai gelaran seperti Raja, Tengku, Ku, Tuan, Nik dan Wan. Ada juga yang telah menggugurkan gelaran nama itu. Pada tahun 1991, PKRJK telah ditubuhkan bagi memertabatkan dan menyatukan semula anak cucu Raja Jembal. Mereka telah membuat lawatan dan memberi penerangan di merata tempat dan ceruk rantau bagi merealisasikan usaha murni ini. PKRJK juga telah berjaya mengembalikan nama pekan kecil ini dan daerah sekitarnya kepada ‘KOTA JEMBAL’.

Kota Jelasin

      Kini Kota Jelasin hanya dikenali dengan nama Kota sahaja. Kesan peninggalan kota lama itu hampir lenyap kerana kurang perhatian untuk memeliharanya dan kawasan sekitar kota tersebut kini ditumbuhi belukar. Pada masa lalu pemerintahan Raja Abdullah dan Puteri Saadong tidak lagi berpusat di Jembal tetapi di Kota Jelasin. Besar kemungkinan kuasa pemerintahan Raja Abdullah ini meliputi kerajaan Jembal. Andaian ini berdasarkan kepada keadaan di Jembal yang tidak mempunyai pemerintah selepas kemangkatan Raja Loyor dalam tahun 1663.

No comments:

Post a Comment