Ancient Hieroglyphics

Ancient Hieroglyphics

Friday, 22 May 2015

Sejarah Kelantan 1



    Negeri Kelantan mempunyai sejarah yang sangat panjang berbanding Kesultanan Melayu Melaka namun ia masih lagi kabur dan memerlukan banyak lagi kajian. Berikut merupakan cebisan artikel tentang jurai keturunan Nik, Wan. Tuan, Che, Tengku ( Kelantan, Pattani, Terengganu) yang mana bila dikesan balik jurai ini ia berasal dari seorang tokoh yang sangat terkenal di Nusantara pada suatu masa dahulu iaitu Syed Hussin Jamadil Kubra.
      Saiyid Hussein Jamadil Kubra adalah dari keturunan Saiyid al-Alawiyah (bertemu hingga kepada Saiyidina Hussein cucu Rasulullah s.a.w.) anak dari bekas seorang gabenor kepada Sultan Muhammad Tugluq (Kesultanan Delhi) yang kemudiannya berkuasa di wilayah Deccan (India Selatan) lalu telah sampai di Kelantan kira-kira pada tahun 1349 Masihi besama adiknya Saiyid Thana’uddin atau Syekh Saman (anak murid kepada Ibnu Hajar). Sudah menjadi takdir bahawa keturunan Rasulallah senantiasa dizalimi, ditindas, dibunuh dan merantau meninggalkan Kota Mekah untuk menyelamatkan diri masing-masing. Sepanjang misi dakwahnya Saiyid Husein sempat mengahwini tiga orang puteri keluarga Diraja Empayar Chermin (Kelantan Purba) yang sewaktu itu ibu kotanya bernama ‘Jiddah’ terletak 3 batu dari Bukit Panau. Kota tersebut telah terbenam ke dalam bumi dan ditenggelami oleh air, kini dikenali sebagai Danau Tok Uban.

       Anak sulong beliau, Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) merupakan pelopor dan ketua Wali Songo. Maulana Malik Ibrahim merupakan anak Saiyid Husein hasil perkahwinan dengan Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Wan Kembang). Siapa sangka bahawa Wali Songo adalah anak buah (anak saudara) Cik Wan Kembang yang tersohor di Kelantan itu. Salah seorang anak beliau pula, telah dihantar untuk berdakwah ke Borneo dan diangkat menjadi Sultan di Brunei bergelar Sultan Berkat yang merupakan nenek moyang raja-raja Brunei sekarang. Inilah jawapan kepada Misteri kenapa Sultan Brunei telah membina sebuah masjid yang cantik dan besar di gigi tasik Danau Tok Uban, sedangkan tempat ini begitu ‘tersorok’ dan orang Kelantan sendiri ramai yang tidak tahu akan kewujudan tasik yang agak luas lagi sayup mata memandang ini. Manakala adiknya, Shaik Thanauddin pula menetap di Bukit Panau (Tanah Merah, Kelantan) sebagai tempat pertapaannya yang mana di sinilah Laksamana Hang Tuah datang untuk berguru semasa usia awal remaja sekitar tahun 1400. Pada zaman dahulu kala, Bukit Panau merupakan landmark bagi pelaut antarabangsa kerana bentuknya yang unik seperti piramid itu dapat dilihat dari laut ketika berada di perairan Laut China Selatan.

     Pada zaman dahulu, Bukit Panau diakses melalui Sungai Kelantan yang cuma disebelahnya. Kapal-kapal mudah sahaja melalui Sungai Kelantan yang luas itu. Inilah perkampungan Wali Songo dan tempat di mana mereka merancang dakwah di Tanah Jawa. jangan keliru, sebenarnya Bukit Panau ini bersebelahan sahaja dengan tasik Danau Tok Uban dan Masjid Sultan Brunei. Anjung Masjid Sultan Brunei di Tasik Danau Tok Uban ini terletak di Pasir Mas Kelantan. Semua informasi yang disampaikan ini agak menarik tetapi terlalu banyak informasi yang perlu dikaji selidik akan kesahihannya. Masalahnya data sejarah kita tak lengkap, yang ada hanyalah melalui cerita lisan. Kalau adapun penulisan seharusnya dalam tulisan jawi dan penulisannya tidak boleh sewenang-wenangnya diambil tanpa dikaji asal-usul naskah tersebut. Mungkin ini semua boleh terlerai jika diperincikan dan dibuat satu kajian perbandingan dengan sejarah di Jawa dan juga tulisan Arab dan China. Sudah tentulah sejarah2 sebegini tidak disimpan oleh pihak kolonial, kalau tidak pastinya sudah ditimbulkan oleh Mubin Sheppard dan Richard Winsteadt.

1 comment: